Tuesday, October 27, 2009

ULASAN BUKU
Isra’ Mi’raj Dan Perkara Ghaib antara Persepsi Islam dan Sains
Penulis Md Zaki bin Ab Manan


Buku ini bertujuan untuk menarik minat setiap lapisan masyarakat Islam supaya menilai aspek aspek agama Islam dari pandangan sains terutama isu Israk Mikraj dan perkara-perkara ghaib . Penulis mahu memantapkan dalam minda masyarakat Islam bahawa sains adalah ilmu yang tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Penulis mahu mengetengahkan kedalam pemikiran orang-orang Islam kesedaran bahawa musuh Islam memang senantiasa mendakwa bahawa Islam adalah agama yang kolot, mundur, sesat dan tidak sesuai kepada manusia. Bahkan di kalangan setengah saintis barat yang bukan Islam juga telah wujud sikap menyamakan Islam dengan agama-agama lain. Apabila agama-agama lain menentang sains dan tidak lagi sesuai dengan penemuan – penemuan nya maka saintis barat yang bukan Islam juga akan menuduh semua agama termasuk Islam adalah falsu. Mereka melakukan tuduhan dan menyebarkan fitnah terhadap Islam tanpa menilai dan mengkaji kandungan alQuran dan ajaran-ajaran Islam yang sebenar terlebih dulu.
Buku ini juga menekankan bahawa akal manusia adalah amat terhad ilmu dan kemampuannya. Saintis juga tidak akan mampu memikirkan dengan tepat tentang Israk mikraj dan perkara-perkara ghaib. Bahkan banyak penemuan-penemuan saintis yang tidak benar dan ditolak apabila saintis- saintis kemudiannya menemukan pula penemuan-penumuan baru yang lebih tepat dan betul . Pada waktu yang sama ramai pula saintis Islam dan bukan Islam mengakui bahawa penemuan sains yang benar inilah yang paling sesuai dengan Islam. Sebenarnya Islam dan alQuran telah memperkatakan pelbagai maklumat yang berkaitan dengan sains lebih awal sebelum barat mengenali ilmu sains dan tamadun manusia .
Penulis mahu menyebarkan kenyataan bahawa Islam adalah agama yang tidak melarang manusia menggunakan akal untuk menilai keindahan Islam dan kehebatan sains akan tetapi selama mana penemuan sains belum menepati kandungan alQuran dan Hadis maka selama itulah penemuan saintis itu dianggap masih belum selesai dan berjaya. Allah sahajalah yang maha mengetahui dan berkuasa untuk melakukan segala kehendaknya termasuklah melakukan peristiwa Israk Mikraj dan perkara-perkara ghaib ini.
Penulis menyarankan dalam buku ini dua perkara pokok; PERTAMA sarjana-sains Islam perlu menggali lebih banyak lagi sumber maklumat didalam alQuran yang boleh digunakan sebagai panduan untuk terus mencapai kemajuan didalam bidang sains dimasa akan datang. KEDUA para pelajar Islam hendaklah menyematkan dan menyemarakkan kedalam hati dan fikiran mereka kesedaran betapa indahnya bidang sains dan betapa pentingnya mereka menceburi didalam bidang ini sekiranya mereka mahu berjaya didalam kehidupan dunia dan akhirat. Dengan sains lah pada masa sekarang sesaorang akan dapat mempertingkatkan lagi keimanan, kekaguman dan keinsafan mereka tentang kebesaran Allah, kebenaran Islam dan keunikan Allah mencipta alam semesta ini.
Penulis cuba memuatkan dalam buku ini difinisi sains , israk mikraj dan perkara ghaib supaya pembaca tidak terkeliru diantara kefahaman yang betul dengan kefahaman yang batil mengenainya. Secara ringkas penulis membahagikan perkara ghaib kepada tiga kumpulan. PERTAMA perkara ghaib yang boleh dikaji dan wajib manusia beriman dengannya. KEDUA perkara ghaib yang tidak mampu dikaji oleh akal manusia dan ianya hendaklah dipercayai sekiranya perkara tersebut ada dinyatakan didalam alQuran dan Hadis. KETIGA perkara ghaib yang bertentangan dengan Islam dan akal manusia iaitu perkara ghaib yang mengandungi unsur-unsur takhayul, khurafat, sesat, bid’ah dan falsu.
Penulis cuba menyarankan kepada saintis supaya berfikir dan berpada dalam meneruskan kajian sains dimasa hadapan. Tanpa adanya sikap cermat dan bijak maka tidak mustahil manusia akan membazirkan berbilion ringgit wang , masa dan tenaga dengan sia-sia , melakukan kajian tentang perkara-perkara ajaib yang sudah pasti tidak ada kesudahannya. Bukan sedikit manusia yang gila kerana mengkaji persoalan roh, zat tuhan, keadaan syurga neraka, rupa malaikat, kejadian jin , syaitan , alam kubur dan hari akhirat, akhirnya ada dikalangan individu tersebut mempengaruhi pengikutnya supaya beriman bahawa dirinya adalah seorang ”Nabi” dan ”Rasul Melayu” yang telah dilantik sebagai ”orang tuhan”. Hanya golongan yang sesat dan diperbodohkan sahaja yang akan mudah menerima segala dakwaan yang sesat sedemikian rupa.
Penulis juga cuba mengetengahkan suatu kaedah dakwah yang jarang diperkatakan oleh ulama masakini iaitu dakwah melalui sains. Penulis juga mengingatkan pembaca tentang bahayanya pendakwah dan orang Islam yang ketinggalan zaman yang bercakap tentang sains sedangkan kenyataannya itu bukan sahaja bertentangan dengan penemuan saintis semasa, akan tetapi kenyataan tersebut juga adalah sesat dari kehendak ayat alQuran yang sebenarnya.
Buku ini mengandungi sembilan bab yang menyentuh sepintas lalu tentang dakwah, sains dan Islam, perkara ghaib , sikap ulama, bidang astronomi, Israk Mikraj, mukjizat dan ayat-ayat alQuran yang berkaitan dengan isu-isu tersebut. Untuk mengetahui secara terperinci kandungan buku ini dan kenyataan-kenyataan penulis mengenainya dapatkan lah dan baca naskhah tersebut. Penulis mengakui kajian nya mengenai tajuk ini masih terlalu banyak kekurangannya dan terlalu dangkal. Beliau mengharapkan ramai lagi cendikiawan Islam dalam bidang sains dan ulama yang lebih mampu untuk menerokainya secara lebih akademik dan ilmiah. Dua tokoh ulama dan sains turut menyokong usaha dan penulisan buku ini dan usaha keduanya telah memantapkan lagi keyakinan penulis untuk membentangkannya dihadapan khalayak dan untuk ditatap oleh pembaca.
Nama Buku Isra’ Mi’raj Dan Perkara Ghaib antara Persepsi
Islam dan Sains
Penulis; Md Zaki Bin Ab Manan
Penerbit; Book Pro Publishing Services
Harga ; RM 27.00
Tahun ; 2009

1 comment: