Saturday, October 31, 2009

sukan dan Islam

Islam dan bersukan

Bolehkah Ummat Islam Bersukan
Baginda Rasulallah saw bersukan dan sebuah Hadis menyebutkan bahawa baginda Rasulallah saw menggalakkan umatnya belajar berenang, menonggang kuda dan memanah. Islam mengkaitkan sukan dengan kekuatan fizikal dan umat Islam yang sihat bukan sahaja diperlukan untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara bagi menghadapi musuh didalam peperangan akan tetapi belia dan remaja yang sihat adalah merupakan aset penting kepada negara bangsa dan agama, samaada untuk mencapai pembangunan ekonomi, pendidikan , akhlak, politik dan kemasyarakatan.
Bersukan lain bermain lain
Pepatah Arab ada mengatakan bahawa akal yang sihat berada pada tubuh badan yang sihat. Salah satu ciri pemimpin Islam ialah memiliki tubuh badan yang sehat dan tampan. Bahkan umum manusia didunia mengiktiraf bahawa kesihatan tubuh badan adalah anugerah Allah yang lebih berharga daripada wang ringgit. Anggota masyarakat yang sihat akan dapat menghindarkan mereka daripada gejala sosial, keruntuhan moral, budaya lepak, ketagihan dadah dan penganggoran. Bukan sedikit jutawan yang terpaksa bergadai golok dihari tua untuk membiayai kos perubatan yang tinggi bagi merawat penyakit-penyakit kronik yang ditanggongnya. Masyarakat yang lemah fizikal dan kesihatannya akan menghadapi masalah keciciran didalam pendidikan, kemiskinan dan kebuluran . Manakala Negara yang sering dilanda wabak penyakit, kemiskinan dan kemunduran akan terus berada didalam ancaman dan cengkaman kuasa –kuasa besar. Didalam ertikata lain besukan tidak boleh disamakan dengan “bermain-main”. Bersukan tanpa memehami tujuan, cara dan hikmahnya saling tak tumpah sapertimana kanak-kanak kecil bermain-main sesama rakan mereka dirumah dan disekolah semata-mata untuk hiburan dan keseronokan semata-mata.




Apakah jenis sukan yang dibenarkan.
Walaupun tiga jenis sukan disebut didalam Hadis diatas akan tetapi jelas Islam adalah agama yang membenarkan semua jenis sukan yang seumpamanya selama-mana sukan tersebut menepati garis panduan yang ditetapkan oleh syarak saperti berikut;
Tujuan bersukan adalah untuk mendapat keredaan dan pahala dari Allah.
Bersukan adalah sunnah Rasulallah saw.
Bersukan adalah untuk menjaga kesihatan dan kekuatan fizikal.
Sabda Rasulallah saw yang bermaksud:
“Sesaorang Mukmin yang kuat adalah lebih baik daripada seorang
mukmin yang lemah”
Bersukan yang tidak melalaikan manusia kepada mengingati Allah (melaksanakan kebaikan dan meninggalkan keburukan atau dosa)
Menutup aurat.
Tadak mencampur adukkan maksiat, perjudian, persaingan yang melampau dan permusuhan dalam masa bersukan.
Bersukan pada masa yang sesuai (bukan pada waktu solat, malam dan waktu bekerja atau pada hari raya.).Sebaiknya aktiviti bersukan dijalankan pada waktu rehat dan cuti.
Untuk mengeratkan persahabatan, persaudaraan dan kenalan..
Tidak menimbulkan perasaan megah (bangga diri) , takabbur (bercakap besar), ujub (merasakan dirinya hebat daripada orang lain) semasa bersukan.
Tidak menggunakan unsur-unsur yang diharamkan ; penyalahgunaan dadah, sihir dan amalan-amalan khurafat (kepercayaan karut ), penggunaan tangkal azimat dan bomoh atau memohon pertolongan JIN dan syaitan..







Kehidupan seharian seorang Atelit
Untuk mengujudkan seorang atelit Islam yang berjaya didalam bidang
sukan maka aktiviti sukan hendaklah dikendalikan dengan cara berikut;
1 Menggalakkan ahli sukan bangun diawal pagi hari.
2. Mengadakan latihan sukan pada awal pagi (selepas subuh).
3. Menghormati waktu-waktu solat.
4. Bersukan dalam tempoh yang sesuai dan tidak terlalu lama dan meletihkan.
5. Bersukan dengan cara yang betul, bersistem dan berperaturan.
6. Elakkan diri daripada kecederaan dan kemalangan.
7. Bersukan dengan hati yang gembira.
8. Memakai pakaian yang bersesuaian dan menutup aurat semasa bersukan.
9. Sukan tidak mengabaikan tanggungjawab dan peranan kepada Allah, diri,
keluarga dan masyarakat.
10. Memilih jenis sukan yang sepadan dengan fizikal dan saiz tubuh badan, minat dan
kemampuan tenaga dan stamina.
11. Menjalani latihan yang cukup dengan kaedah dan peralatan yang canggih.
12. Taat setia kepada guru dan jurulatih yang bertauliah.

Ciri-ciri dan kriteria Ahli Sukan
Sukan adalah salah satu cara yang berkesan untuk manusia mendisiplinkan diri
dalam pelbagai aspek. Untuk menjadi seorang ahli sukan yang berjaya ia perlu kepada faktor-faktor berikut;
kesihatan yang baik.
tubuh badan yang sempurna (tidak cacat fizikal, penglihatan, pendengaran dan fikiran )
pemakanan yang berkhasiat
Masa tidur yang cukup.
Bebas daripada dadah, arak dan rokok.
latihan yang bersistematik.
Jurulatih yang berkemahiran.
Tempat bersukan yang selamat dan sesuai.
Rakan sebaya yang sesuai dan bersefahaman.
Bersesuaian dengan cuaca dan persekitaran yang mengizinkan.

Kenapa Islam mengharuskan bersukan
Banyak perkara-perkara yang perlu dipatuhi dan diamalkan oleh seorang ahli
sukan, sesuai dengan ajaran Islam itu sendiri. Misalnya untuk menjaga kesihatan, kecerdasan dan kekuatan otot maka seorang olahragawan dan penggemar sukan mesti melaksanakan perkara berikut didalam kehidupan seharian mereka . Antaranya;
1. Menjaga pemakanan yang baik dan berkhasiat.
Firman Allah dalam surah alBaqarah ayat 57


Yang bermaksud;

57- Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu "Manna" dan "Salwa", (serta Kami berfirman): Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.
Dalam surah Toha ayat 81




Yang bermaksud;
81- Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia.

2. Menjalankan latihan secara terancang dan bersistematik.
3. Menggunakan teknik yang saintifik dan strategi yang berkesan
4. Menjaga kesihatan dan menjauhkan diri dari kemalangan dan kecederaan.

Firman Allah dalam surah Baqarah ayat 195



Yang bermaksud;

195- Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Islam mementingkan pergerakan badan
Didalam ibadat sekali pun para ahli perubatan mengakui ianya banyak
memberikan kesan positif kepada kesihatan manusia disamping ibadat itu bertujuan untuk merapatkan hubungan manusia dengan tuhan (Allah swt.) Misalnya disebalik melakukan ibadat solat, seorang mukmin juga membersihkan dirinya dari kekotoran, melakukan pergerakan anggota badannyamengikut susunan dan cara-cara tertentu, tafakkur dan khusyuk, dan pasti tercapainya kerehatan fikiran dan anggotanya dari kesebukan hal-hal keduniaan yang merungsingkan. Solat itu sendiri sebenarnya adalah bertujuan untuk menghalang manusia terlibat dalam maksiat dan jenayah sekiranya solat dikerjakan dengan sempurna dan menepati caranya yang sebetulnya.
Firman Allah dalam surah alAnkabut ayat 45

Yang bermaksud;
45- Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Bagitu juga dalam ibadat puasa dan haji unsur riadhah, pergerakan anggota badan dan pengeluaran tenaga dan stamina berlaku walaupun ianya bukan merupakan suatu matlamat utama ibadah berkenaan. Bahkan berpuasa juga akan menghasilkan kesan positif kepada kesihatan tubuh badan manusia sekiranya ibadat puasa itu dilaksanakan dengan betul dan sempurna. .


Bolehkah wanita bersukan
Islam juga tidak menghalang wanita melibatkan diri dalam sukan sekiranya sukan tersebut tidak menimbulkan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam keseluruhannya. Antaranya ialah;
1.Tidak bergaul diantara lelaki dan perempuan.
2. Menutup aurat (dari aspek pakaian dan suara).
3. Tidak mendatangkan bahaya dan selamat.
4. Berfaedah untuk pertahanan diri , kesihatan serta kecerdasan.
5. Tidak menimbulkan fitnah.
Petua mengubati masalah ketagihan
Ahli perubatan juga mengakui bahawa salah satu cara manusia menghapuskan tabiat merokok, gangguan seks, ketagihan arak atau dadah adalah antaranya;
Mendekatkan diri kepada agama, beribadat kerana Allah , membaca alQuran, berzikir. dan berpuasa
Mengisikan masa lapang dengan kegiatan dan aktiviti yang berfaedah.
Menjaga kesihatan diri dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan kecuali jenis sukan yang ditegah.
Jenis sukan yang dilarang
Sukan yang dihalang oleh Islam ialah apabila ;
Mendatangkan kesan buruk dimasa tua dari aspek kesihatan dan pertumbuhan fizikal dimasa akan datang.
Menyebabkan berlakunya pembaziran masa, wang ringgit dan tenaga tanpa mendatangkan faedah kepada diri, masyarakat dan Negara.
Gagal membentuk peribadi ,akhlak, jati-diri, sikap dan cara hidup yang baik.
Ujudnya unsur-unsur perjudian, maksiat, rasyuah, jual beli pemain secara tidak sihat dan jenayah.



Cara latihan sukan yang belum pernah di cuba;
Semua ahli sukan di wajibkan belajar atau berlatih berenang dan menunggang kuda serta seni mempertahankan diri bagi menambah kecekapan, kepantasan, kecerdasan dan ketajaman minda , penambahan stamina dan kekuatan fizikal.
Cuba galakkan ahli sukan berpuasa semasa dalam tempoh latihan .
Latihan mendapatkan masa tidur yang berkualiti (singkat tetapi cukup)

Sumbang Saran
Untuk merialisasikan supaya lahirnya masyarakat Islam yang aktif didalam bidang sukan maka sebuah jawatankuasa perlu digerakkan bagi menguruskan kegiatan sukan disemua peringkat terutama dikalangan remaja dan belia. Jika ia nya dapat diurus dengan baik sukan juga boleh dijadikan landasan kearah perpaduan ummah. Masjid perlu menyediakan pasarana yang sesuai supaya kegiatan sukan juga berpusat dimasjid dan disamping ia menyemarakkan semula masjid sebagai pusat masyarakat, para belia juga tidak perlu mencari tempat yang jauh dari masjid untuk bersukan dan beriadah.


Selamat Bersukan Untuk Kesejahteraan
Hidup di Dunia dan Akhirat

Thursday, October 29, 2009

BIODATA PENULIS








Nama Penulis ialah Md Zaki bin Abd Manan dilahirkan di Suak Petai Manong, Perak pada 28.6.1949, Beliau dibesarkan di Bukit Berapit Kuala Kenas Kuala Kangsar Perak dari kampong yang terpencil serta keluarga petani, Beliau berpendididikan di sekolah Melayu, Sekolah Kebangsaan Kuala Kenas, Sekolah Kebangsaan Manong, Clifford School Kuala Kangsar, Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh, Kolej Islam Petaling Jaya, UKM, University Of London sehingga ke Ijazah M Phil.

Beliau aktif didalam bidang sukan, olahraga dan persatuan dan berminat didalam penulisan tentang isu semasa, muamalat, politik dan pengurusan. Beliau juga terlibat dengan ceramah-ceramah di Radio Televisyen dan dimajlis-majlis anjuran jabatan kerajaan dan bukan kerajaan. Dalam tempoh perkhidmatan beliau diberi kepercayaan memegang beberapa jawatan dalam persatuan , badan-badan dan mewakili pihak Pekerja dalam Majlis Bersama Jabatan.

Beliau berpengalaman bertugas sebagai pegawai hal ehwal Islam di JAKIM, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan JAKIM Sabah dan Intitut Latihan Islam Malaysia. Sekarang beliau telah pun bersara dari perkhidmatan kerajaan ( sejak pada tahun 2004).


Beliau pernah dilantik sebagai penyelaras tarbiah di koperasi Muslimin Malaysia Bhd. dan Penasihat Syarie di Muamalah Financial Consulting Sdn Bhd, Beliau sekarang dilantik sebagai Pengerusi, Koperasi Muslimin Wilayah Persekutuan, Setiausaha, Yayasan Muslimin Malaysia, Jawatankuasa Masjid alTaqwa dan Imam Juru nikah Kariyah Taman Tun Dr Ismalil Damansara Kuala Lumpur.

Tuesday, October 27, 2009

ULASAN BUKU
Isra’ Mi’raj Dan Perkara Ghaib antara Persepsi Islam dan Sains
Penulis Md Zaki bin Ab Manan


Buku ini bertujuan untuk menarik minat setiap lapisan masyarakat Islam supaya menilai aspek aspek agama Islam dari pandangan sains terutama isu Israk Mikraj dan perkara-perkara ghaib . Penulis mahu memantapkan dalam minda masyarakat Islam bahawa sains adalah ilmu yang tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Penulis mahu mengetengahkan kedalam pemikiran orang-orang Islam kesedaran bahawa musuh Islam memang senantiasa mendakwa bahawa Islam adalah agama yang kolot, mundur, sesat dan tidak sesuai kepada manusia. Bahkan di kalangan setengah saintis barat yang bukan Islam juga telah wujud sikap menyamakan Islam dengan agama-agama lain. Apabila agama-agama lain menentang sains dan tidak lagi sesuai dengan penemuan – penemuan nya maka saintis barat yang bukan Islam juga akan menuduh semua agama termasuk Islam adalah falsu. Mereka melakukan tuduhan dan menyebarkan fitnah terhadap Islam tanpa menilai dan mengkaji kandungan alQuran dan ajaran-ajaran Islam yang sebenar terlebih dulu.
Buku ini juga menekankan bahawa akal manusia adalah amat terhad ilmu dan kemampuannya. Saintis juga tidak akan mampu memikirkan dengan tepat tentang Israk mikraj dan perkara-perkara ghaib. Bahkan banyak penemuan-penemuan saintis yang tidak benar dan ditolak apabila saintis- saintis kemudiannya menemukan pula penemuan-penumuan baru yang lebih tepat dan betul . Pada waktu yang sama ramai pula saintis Islam dan bukan Islam mengakui bahawa penemuan sains yang benar inilah yang paling sesuai dengan Islam. Sebenarnya Islam dan alQuran telah memperkatakan pelbagai maklumat yang berkaitan dengan sains lebih awal sebelum barat mengenali ilmu sains dan tamadun manusia .
Penulis mahu menyebarkan kenyataan bahawa Islam adalah agama yang tidak melarang manusia menggunakan akal untuk menilai keindahan Islam dan kehebatan sains akan tetapi selama mana penemuan sains belum menepati kandungan alQuran dan Hadis maka selama itulah penemuan saintis itu dianggap masih belum selesai dan berjaya. Allah sahajalah yang maha mengetahui dan berkuasa untuk melakukan segala kehendaknya termasuklah melakukan peristiwa Israk Mikraj dan perkara-perkara ghaib ini.
Penulis menyarankan dalam buku ini dua perkara pokok; PERTAMA sarjana-sains Islam perlu menggali lebih banyak lagi sumber maklumat didalam alQuran yang boleh digunakan sebagai panduan untuk terus mencapai kemajuan didalam bidang sains dimasa akan datang. KEDUA para pelajar Islam hendaklah menyematkan dan menyemarakkan kedalam hati dan fikiran mereka kesedaran betapa indahnya bidang sains dan betapa pentingnya mereka menceburi didalam bidang ini sekiranya mereka mahu berjaya didalam kehidupan dunia dan akhirat. Dengan sains lah pada masa sekarang sesaorang akan dapat mempertingkatkan lagi keimanan, kekaguman dan keinsafan mereka tentang kebesaran Allah, kebenaran Islam dan keunikan Allah mencipta alam semesta ini.
Penulis cuba memuatkan dalam buku ini difinisi sains , israk mikraj dan perkara ghaib supaya pembaca tidak terkeliru diantara kefahaman yang betul dengan kefahaman yang batil mengenainya. Secara ringkas penulis membahagikan perkara ghaib kepada tiga kumpulan. PERTAMA perkara ghaib yang boleh dikaji dan wajib manusia beriman dengannya. KEDUA perkara ghaib yang tidak mampu dikaji oleh akal manusia dan ianya hendaklah dipercayai sekiranya perkara tersebut ada dinyatakan didalam alQuran dan Hadis. KETIGA perkara ghaib yang bertentangan dengan Islam dan akal manusia iaitu perkara ghaib yang mengandungi unsur-unsur takhayul, khurafat, sesat, bid’ah dan falsu.
Penulis cuba menyarankan kepada saintis supaya berfikir dan berpada dalam meneruskan kajian sains dimasa hadapan. Tanpa adanya sikap cermat dan bijak maka tidak mustahil manusia akan membazirkan berbilion ringgit wang , masa dan tenaga dengan sia-sia , melakukan kajian tentang perkara-perkara ajaib yang sudah pasti tidak ada kesudahannya. Bukan sedikit manusia yang gila kerana mengkaji persoalan roh, zat tuhan, keadaan syurga neraka, rupa malaikat, kejadian jin , syaitan , alam kubur dan hari akhirat, akhirnya ada dikalangan individu tersebut mempengaruhi pengikutnya supaya beriman bahawa dirinya adalah seorang ”Nabi” dan ”Rasul Melayu” yang telah dilantik sebagai ”orang tuhan”. Hanya golongan yang sesat dan diperbodohkan sahaja yang akan mudah menerima segala dakwaan yang sesat sedemikian rupa.
Penulis juga cuba mengetengahkan suatu kaedah dakwah yang jarang diperkatakan oleh ulama masakini iaitu dakwah melalui sains. Penulis juga mengingatkan pembaca tentang bahayanya pendakwah dan orang Islam yang ketinggalan zaman yang bercakap tentang sains sedangkan kenyataannya itu bukan sahaja bertentangan dengan penemuan saintis semasa, akan tetapi kenyataan tersebut juga adalah sesat dari kehendak ayat alQuran yang sebenarnya.
Buku ini mengandungi sembilan bab yang menyentuh sepintas lalu tentang dakwah, sains dan Islam, perkara ghaib , sikap ulama, bidang astronomi, Israk Mikraj, mukjizat dan ayat-ayat alQuran yang berkaitan dengan isu-isu tersebut. Untuk mengetahui secara terperinci kandungan buku ini dan kenyataan-kenyataan penulis mengenainya dapatkan lah dan baca naskhah tersebut. Penulis mengakui kajian nya mengenai tajuk ini masih terlalu banyak kekurangannya dan terlalu dangkal. Beliau mengharapkan ramai lagi cendikiawan Islam dalam bidang sains dan ulama yang lebih mampu untuk menerokainya secara lebih akademik dan ilmiah. Dua tokoh ulama dan sains turut menyokong usaha dan penulisan buku ini dan usaha keduanya telah memantapkan lagi keyakinan penulis untuk membentangkannya dihadapan khalayak dan untuk ditatap oleh pembaca.
Nama Buku Isra’ Mi’raj Dan Perkara Ghaib antara Persepsi
Islam dan Sains
Penulis; Md Zaki Bin Ab Manan
Penerbit; Book Pro Publishing Services
Harga ; RM 27.00
Tahun ; 2009

Selamat Datang

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,

Selamat berkenalan dan saya mengalu alukan sebarang idea dan maklumat untuk kita kongsi bersama.


Haji Zaki

Taman Tun dr Ismail, Kuala Lumpur
Malaysia